Showing posts with label Seni Warisan. Show all posts
Showing posts with label Seni Warisan. Show all posts

Taman Tamadun Islam





Taman Tamadun Islam - Kuala Terengganu

Berkunjung ke Terengganu tidak sah kalau tidak singgah ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man Kuala Terengganu. Taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian dari projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar persisir pantai yang terkenal di dunia. Taman Tamadun Islam merupakan sebuah taman yang dibina berdasarkan taman kembara interaktif monumen-monumen Islam yang terkenal dari serata dunia. Sudah tentunya Taman Tamadun Islam ini memberikan pendidikan dan hiburan berinformatif tentang destinasi-destinasi Islam dan perkembangan serta pengaruh Islam yang dari serata dunia di satukan di taman ini.




Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon iaitu Zon Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Taman ini bukan sahaja menjadi taman tema pertama yang mengiktiraf keindahan senibina islam ianya juga menempatkan 21 replika bangunan yang berkaitan dengan sejarah Islam dari seluruh dunia. Tarikan utama Taman Tamadun Islam ini termasuklah Masjid Negara ( Malaysia ), Masjidil Haram ( Arab Saudi), Dome of Rock ( Palestin ), Al-Hambra Citadel ( Sepanyol ) dan Taj Mahal ( India ).

Selain Masjid-masjid yang terkenal di dunia dipamerkan dalam bentuk replika di sini terdapat juga Mimbar Kalyan ( Uzbekistan ), Makan Abu Nasr (Afghanistan) Mimbar Berputar Samarra ( Iraq ), Majid Mohd Ali ( Khaerah) Aleepo Citadel ( Syria), Masjid Kul Syarif ( Russia ) Mimbar Xian ( China) Masjid Besar Agadez ( Nigeria dan Masjid Besar Qairawan dari Tunisia. Semua monumen-monumen keagungan islam ini dibina dengan teliti dan menyerupai mercu tanda asal monumen tersebut.







Ikon bagi Taman Tamadun Islam di sini adalah Masjid Kristal yang menjadi lambang kebangaan rakyat negeri Terengganu. Masjid yang diperbuat daripada kaca besi dan kaca ini dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Febuari 2008. Masjid pintar pertama di Malaysia ini berkeluasan kira-kira 2,146 meter persegi dan mempunya kemudahan Wi-FI serta dilengkapi pasarana canggih. Pada satu-satu masa masjid ini mampu menampunng sejumlah 700 orang jemaah . Masjid ini juga menyediakan kemudahan internet dan pengunjung boleh membaca Al-Quran elektronik yang disediakan pihak masjid.


Untuk tempahan sila hubungi : +609-6278888 or email sales@tti.com.my


Read more...

Festival Tanglung - Kg Cina



Festival Tanglung 2010 - Kampung Cina

Bermula pada 12 September 2010 yang lalu Festival Tanglung 2010 peringkat Negeri Terengganu telah di adakan di Dataran Berkembar- Tapak Warisan Kampung Cina Kuala Terengganu. Festival yang berjaya menarik beribu-ribu pengunjung dari pelbagai kaum datang untuk menyaksikan pelbagai aktiviti pelancongan yang telah di adakan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara melepaskan Tanglung 'Kong Ming Deng' atau Tanglung Terbang, persembahan hiburan, perarakkan Tanlung dan pertandingan fotografi.



Kerajaan Negeri Terengganu telah menyediakan Dataran Berkembar yang terletak di Tapak Warisan Kampung Cina bagi menarik pelancong agar mengenali kepelbagaian budaya dalam masyarakat di Terengganu. Kampung Cina yang kaya dengan cara hidup dan adat resam pelbagai kaum ini menjadikan ia satu tempat yang mesti dikunjungi oleh setiap pelancong yang datang melawat Terengganu. Berhampiran Kampung Cina ini juga terdapat sungai yang diterangi cahaya bergelapan membolehkan pengunjung menyusuri Sungai Terengganu menggunakan bot yang disediakan. Festival Tanglung ini juga diadakan bagi mewujudkan semangat Satu Malaysia di antara kaum dan boleh memupuk semangat cintakan budaya kaum lain sekaligus menerapkan semangat perpaduan serta kenegaraan yang kuat sesama rakyat. Kaum lain juga dapat mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat lagi.



Pesta Tanglung biasanya juga dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan yang mana akan disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina iaitu antara akhir bulan Ogos atau akhir bulan September. Pada waktu ini biasanya bulan akan mengambang dan terang menjadikan ianya waktu yang sesuai untuk meraihkan perayaan ini. Kuih bulan pula adalah hidangan tradisional masyarakat Cina yang diperbuat daripada adunan manisan yang berintikan kacang merah, bijih teratai atau kuning telur masin. Mengikut lagendanya pada era zaman Dinasti Mongol dahulu pesanan atau kod peperangan untuk memberontak disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan ini dan akhirnya strategi pemberontakan ini berjaya menumbangkan Dinasti Mongol. Bagi masyarakat Islam di Malaysia yang ingin menikmati kuih bulan tidak peru risau kerana terdapat kuih bulan yang disahkan Halal oleh JAKIM.

Antara lain penggunaan Tanglung "Kong Ming Deng" atau Tanglung Terbang ini digunakkan bagi memberi isyarat peperangan semasa pemberontakkan tersebut. Sehingga ke hari ini masyarakt Cina akan menerbangkan beratus-ratus Tanglung Kong Ming Deng ini ke udara dengan menulis hajat mereka di tanglung tersebut dan berdoa akan dimakbulkan.


Tanglung Terbang



Read more...

Pura Tanjung Sabtu




Pura Tanjung Sabtu

Pura Tanjung Sabtu adalah sebuah tempat yang harus dikunjungi jika datang melawat Terengganu. Kompleks rumah dan istana tradisional Terengganu ini berusia 200 tahun ini diperbuat daripada kayu cengal dan tidak menggunakan sebatang paku untuk mengukuhkan struktur binaanya. Pura yang bermaksud istana ini sekarang ini dimiliki oleh Tengku Ismail Tengku Su dan menjadi homestay yang terletak kira-kira 14KM Utara Kuala Terengganu.




Pura Tanjung Sabtu ini di bina dengan rekabentuk tersendiri yang banyak mempamerkan ciri-ciri tradisonal senibina rumah Melayu lama dari kurun ke-19 lagi. Tinggi rumah yang dibina adalah lebih kurang 3 meter dari aras tanah adalah untuk sistem pengudaraan yang nyaman, melindungi dari binatang buas dan jika banjir berlaku rumah masih dapat diduduki untuk perlindungan. Pura Tanjung Sabtu yang berkeluasan kira-kira 14 ekar di kelilingi oleh taman, dusun buah-buahan dan halaman yang sangat mendamaikan suasana.




Pengunjung juga boleh berehat-rehat di beranda atau serambi yang terbuka. Meja dan kerusi yang terletak sini dan serambi Pura Tanjung Sabtu ini diukir indah mempamerkan kehalusan dan ketelitian seni yang diwarisi oleh orang Melayu dari generasi ke generasi . Terdapat Sungai Nerus berhampiran Pura Tanjung Sabtu ini dan sesiapa yang ingin memancing ikan air tawar atau menangkap udang galah bolehlah mencuba nasib di sini. Pengunjung juga boleh bersiar-siar dengan bot disepanjang Sungai Nerus bagi menyaksikan kehidupan dan alam semulajadi disepanjang sungai ini. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi alamat di bawah untuk keterangan lanjut.


Pura Tanjung Sabtu
5728, Kampung Tanjung SabtuMukim Manir
21200 Kuala Terengganu
Terengganu, Malaysia.
Tel: 609-6153655
Fax: 609-6155013
Mobile: 6019-9833365
Tengku Ismail bin Tengku Su

Read more...

Perbadanan Kraftangan Malaysia - Terengganu




Perbadanan Kraftangan Malaysia - Terengganu

Kraftangan adalah satu seni yang mempunyai daya tarikan dalam kebudayaan atau tradisional dan dihasilkan melalui sesuatu proses yang bergantung kepada kemahiran tangan dan daya kreatif seseorang itu menghasilkan satu produk yang menarik. Kraftangan juga adalah hasil kerja bagi menghasilkan peralatan atau perhiasan yang menggunakan perkakasan ringkas bagi menghasilkan produk kraftangan. Seni kraftangan ini mempunyai keistimewaan masing-masing dan seni ini haruslah dipelajari supaya daya kreatif ini dapat di warisi zaman ke zaman.





Menyedari kepentingan seni kraftangan ini harus diteruskan serta diusahakan dan diminati oleh masyarakat, Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu memainkan peranannya sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawap mempromosikan dan memasarkan barangan kraftangan ini di pasaran tempatan dan luar negeri.

Kompleks ini dibina pada tahun 1989 dan dibina di atas tanah seluar 4 ekar menyediakan pelbagai kemudahan bagi pengunjung untuk membeli barangan kraftangan yang dijual dan dipamerkan di sini. Antara bidang kraf yang ditawarkan di sini adalah hasil tesktil seperti batik dan songket, seni logam dan hasil rimba. Antara aktiviti utama Perbadanan Kraftangan Malaysia Terengganu adalah membangunkan rekaan dan produk kraftangan, membuat kajian teknologi yang dapat memudahkan kerja kraftangan dan membangunan standard iaitu memberi khidmat piawaian kraf tu bagi mengawal mutu kraftangan itu sendiri.




Pada 27 Oktober ini Perbadanan Kraftangan Malaysia yang terletak di Chendering ini akan mengadakan promosi kraf peringkat negeri selama lima hari. Program ini adalah bertujuaan untuk memberi peluang kepada usahawan kraft memasarkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas. Promosi yang melibatkan 80 usahawan ini bergabung bagi menjayakan pameran kraftangan seperti songket, batik, tembaga, anyaman dan ukiran yang sememangnya senonim dengan imej Negeri Terengganu. Untuk tidak melupakan kraftangan negeri lain seperti Perak, Sarawak yang juga terkenal dengan hasil kraftangannya pameran ini turut menyediakan ruang untuk mereka memperkenalkan hasil kraftangan mereka. Ini bukan sahaja akan memberi pendedahan kepada produk yang tidak ada di Terengganu ia juga dapat memberi peluang untuk rakyat Terengganu mengenali hasil kraf negeri lain. Perbadanan ini menjangka dapat menarik 20,000 pengunjung sepanjang 5 hari promosi ini berlansung. Jom ramai-ramai pakat tengok nak!!

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Terengganu
Lot 2195 Kaw. Perindustrian Chendering
Peti Surat 69, 20700 Kuala Terengganu.
Tel. 09 – 6171033 / 6171034 / 6175239
Fax. 09 – 6172381
E-mel: pkterengganu@kraftangan.gov.my


Read more...

Permainan Wau di Terengganu




Permainan Wau di Terengganu

Permainan wau adalah permainan tradisional rakyat pantai timur terutama di Terengganu. Tidak seperti permainan rakyat yang lain, permainan wau ini biasanya dimainkan mengikut musim. Biasanya permainana wau akan dimainkan selepas musim menuai atau berangin. Biasanya wau di mainkan di kawasan lapang bagi memudahkan pengendalian layang-layang kebanggan rakyat Malaysia yang sememangnya unik lain daripada yang lain.




Terdapat mitos berkenaan dengan permainan wau ini dengan semangat padi. Pada suatu masa dahulu terdapat sepasang suami ister yang berkerja dengan menanam padi tetapi pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. Pada suatu hari mereka telah menjumpai bayi perempuan yang sangat comel dan elok paras rupanya. Pasangan ini menjaga bayi tersebut sehingga besar dan menjadi anak gadis yang sangat jelita. Oleh kerana kecantikkannya itu pelbagai fitnah dan tomahan telah dilemparkan kepada gadis tersebut sehinggalah satu hari gadis malang ini telah di pukul oleh pasangan petani ini dah dihalau dari kampung. Sejak itu tanaman padi mereka tidak menjadi dan setelah di tilik oleh ahli nujum, ahli nujum ini mencadangkan agar mereka menerbangkan wau berbentuk bulan untuk mengembalikan semangat padi yang telah hilang angkara fitnah. Sejak itu aktiviti permainan wau sentiasa dimainkan untuk mengembalikan semangat padi, ini membolehkan tanaman mereka hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.




Terdapat pelbagai jenis wau yang biasanya di hasilkan di Terengganu iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Burung. Masing-masing mempunyai bentuk yang tersendiri. Terdapat dua cara permaian wau iaitu sekadar hiburan ataupun permainan diadakan untuk pertandingan. Permarkahan dalam pertandingan wau biasanya akan mengambil kira berdasarakan ketinggian wau yang mampu dinaikkan, kemahiran peserta menaikkan wau, bunyi yang dihasilkan dan corak wau yang unik dan menarik juga diambil kira.


Cara untuk menaikkan wau pula perlu dilakukkan oleh dua orang yang dikenali sebagai juruanjung dan jurumain tali. Juruanjung akan memegang tali dan jurumain tali akan memegang wau iaitu kira-kira 15meter-30meter dari juruanjung tadi. Wau perlu seimbang untuk menyempurnakan proses menaikkan wau. Apabila wau sudah dinaikkan juruanjung tali perlu di hulurkan sedikit demi sedikit hingga mencapai ketinggian maksimum ke udara. Apabila puas hati dengan ketinggian yang dikehendaki juru anjung akan mengikat tali wau di mana-mana pangkal pokok dan meninggalkannya untuk menikmati kemerduan bunyi wau yang di tiup angin. Di Terengganu pertandingan wau biasanya di adakan di Kampung Bukit Tumbuh di daerah Jerteh Terengganu. Di harap permainan tradisional ini dapat dikekalkan dan dipromosikan agar ianya kekal sebagai warisan kita zaman berzaman.


Read more...

Ukiran Kayu Seni Warisan Melayu




Seni Ukiran Kayu Warisan Melayu

Seni Ukiran Kayu adalah seni kraftangan warisan masyarakat Melayu yang tidak lapuk dek hujang tak lekang dek panas. Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum terutama Melayu telah mewujudkan kepelbagaian seni ukir kayu yang berbeza. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti ukiran lain cuma berbeza dari segi cara, motif dan teknik pengukirannya. Di Terengganu banyak syarikat atau orang perseorangan yang mengusahakan hasil ukiran kayu ini.



Pengusaha ukiran kayu banyak terdapat di Kampung Losong dimana ianya menjadi pusat pelancongan yang menarik di Terengganu. Hasil Seni Ukir ini terus berkembang luas kerana Terengganu merupakan negeri yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak.Selain itu kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai diukir dan dijadikan bahan yang menarik dan dijual sebagai produk pelancongan.



Terdapat pelbagai ukiran yang menggunakan teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pengukiran kayu itu sendiri. Terdapat tiga teknik utama dan gaya dalam seni ukiran Melayu iaitu tebuk separuh, tebuk timbul dan tebuk terus. Bentuk ukiran pula terdiri dari tiga jenis bentuk ukiran yang utama iaitu Bujang, Lengkap dan Pemidang.



Jenis bentuk Bujang adalah ukiran yang berbentuk bebas, tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya jenis ukiran Bujang ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntum bunga atau putik buah. Sementara jenis bentuk pemidang pula jenis ukiran yang menampilkan motif yang menggambarkan pergerakkan yang sederhana tidak rumit atau berbelit-belit. Apa yang menarik ukiran ini mempunyai namanya tersendiri seperti itik pulang petang, badak mudik, setapuk manggis dan sebagainya. Ukiran jenis ini biasanya digunakan untuk jala-jala rumah, almari dan hiasan. Jenis ukiran Bentuk Lengkap pula adalah gabungan ciri-ciri Bujang dan Pemidang iaitu jenis ukiran ini menitikberatkan unsur-unsur tumbuh-tumbuhan, akar, batang, buah, putik dan daun pokok.



Ukiran kayu memerlukan peralatan khas untuk mengukir dan memahat hasil seni ini. Alat-alat yang digunakan seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting adalah pahat. Pelbagai motif ukiran Melayu digunakan seperti motif haiwan, motif angkasa menerapkan gambaran awam larat seperti bintang matahari, bukit bukau dan bulan. Sementara motif geometri dan khaligrafi jawi juga biasanya menjadi pilihan pengukir dalam menghasilkan produk ukiran mereka. Seni Khat biasanya digunakan untuk hiasan di ambang pintu rumah, masjid atau surau ataupun pada rehal untuk Al-Quran.

Balai Seni Ukiran Besut
Jalan Balai Seni Alor Lintang, Kampung Raja,
22000 Besut, Terenggganu
Tel : 09-6953695


Read more...

Desa Ukiran Kayu - Besut




Desa Ukiran Kayu - Besut

Seni ukiran kayu adalah seni warisan turun temurun yang mempunyai nilai seni yang tak ternilai harganya. Menyedari pentingnya seni ini tidak hilang ditelan zaman, Kerajaan Negeri Terengganu telah membina sebuah institut latihan seni ukir yang di beri nama Desa Ukiran Kayu (DUK). Desa Ukiran Kayu terletak di daerah Besut yang telah di ilhamkan sebagai "Besut Daerah Ukiran Kayu" kerana lahirnya pengukir-pengukir tersohor lahir di Daerah Besut. Antara pengukir ternama yang berasal dari Besut adalah Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Haji Wan Su Bin Othman ( Tokoh Seni Negara 1997), Abd Rahman Long, Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003) dan Norhaiza Bin Nordin.




Desa Ukiran Kayu ini telah dibina di kawasan Istana Tengku Long yang terkenal dengan seni bina yang menarik dan mengagumkan. Istana Tengku Long ini telah dibina dengan Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut Ke-4 pada tahun 1875. Istana ini dihiasi dengan ukiran kayu yang halus seni ukirannya dan sangat menarik dan mengagumkan. Desa Ukiran Kayu yang dibina ini berkeluasan 3,500meter persegi dan terletak di kawasan Kg Raja Besut Terengganu , kira-kira 100Km dari Bandar Kuala Terengganu. Terdapat tiga jenis rumah tradisional yang dibina di Desa Ukiran Kayu ini ialah Rumah Potong Belanda, Rumah Limas Bungkus dan Rumah Bujang Berserambi Selasar. Ketiga-tiga rumah ini menjadi simbol dan contoh ukiran kayu yang diterapkan ciri-ciri ukiran melayu yang terkenal. Gaya ukiran pada kayu adalah dipengaruhi oleh faktor dan cara hidup masyarakat Melayu seperti adat, agama, persekitaran, iklim dan bentuk muka bumi. Biasanya ukiran ini berdasarkan keperluan individu dan tidak bercanggah dengan kepercayaan dan adat Melayu.




Desa Ukiran Kayu ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan menyediakan latihan kepada pelatih lepasan SPM yang terdiri dari anak watan Terengganu yang berminat mendalami seni ukir ini. DUK ini juga dipantau oleh seorang Profesor Madya Sulaiman Abd.Ghani sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence (TIDE) yang mempunyai pengalaman yang tinggi dan luas dalam bidang seni. Selain itu DUK juga menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk melatih pelatih di sini. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti latihan ukiran kayu atau melawat Desa Ukiran Kayu boleh lah berkunjung dan melihat sendiri Seni Warisan Melayu yang menjadi simbol dan lambang kebangaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long
PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long
Kg. Raja, 22200 Besut, Terengganu
No. Tel: 09-6954823/ 3823 No. Faks: 09-6958823
Alamat E-mail: vanyilla@yahoo.com


Read more...

Pertandingan Pelita Raya 2010




Tak lama lagi Ramadhan akan berlabuhkan waktunya dan tibanya Raya Aidilfitri tanda kemenangan masyarakat Islam dari seluruh dunia berpuasa selama sebulan. Pelbagai tradisi perayaan dibuat bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Salah satu tradisi yang masih berkekalan sehingga hari ini adalah pemasangan pelita raya sempena menyambut malam Tujuh Likur. Tujuh likur sering dikaitan dengan malam Lailatuqadar iaitu detik keemasan untuk individu muslim merebut ganjaran apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang sedang bersolat dan beribadat kepada Allah. Oleh kerana itu munculah tradisi memasang pelita pada 7 hari terakhir bulan Ramadhan bagi menyambut malam yang mulia seumpama seribu bulan.




Malam Tujuh Likur turut meninggalkan nostagia aku dulu semasa zaman kanak-kanak bersama rakan sekampungku memasang pelita keliling kampung bagi menerangi jalan kampung yang satu ketika dulu gelap kerana ketiadaan lampu jalan. Tradisi ini masih lagi dikekalkan hingga ke hari ini di mana-mana kampung pun. Bagi mengekalkan tradisi ini tidak ditelan zaman Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu telah mengadakan Pertandingan Pelita Raya 2010. Pertandingan ini berlangsung dari 4 hingga 6 September 2010 lalu dan mendapat sambutan yang mengalakkan dari peserta dan penduduk kampung yang mengambil bahagian.



Pertandingan ini disertai oleh kampung di DUN Tepoh iaitu Kampung Baru, Kampung Raja, Kampung Padang Hangus ,Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng telah menyaksikan beribu-ribu pelita di pasangan menerangi kampung-kampung yang mengambil bahagian. Pelbagai pelita kreatif direka oleh penduduk kampung bagi memeriahkan suasana malam di sekitar kampung. Apa yang menarik pelita ini diperbuat dari barang terpakai seperti tin susu, tempurung kelapa, buluh, buah kelapa dan bermacam-macam lagi. Minyak tanah digunakan bagi menghidupkan api pelita yang meliuk-liuk ditiup angin.





Peserta pertandingan juga telah mencipta pelbagai tema yang kreatif bagi menarik perhatian juri, antaranya tema One Malaysia, Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Sesuai dengan tema pertandingan ini " Alami Suasana Gemerlapan 10,000 Pelita Raya di Kampung Tradisi ", kampung ini seakan berpesta dengan beribu-ribu cahaya pelita menerangi persekitaran. Di harap pertandingan seperti ini akan membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi unik yang sentiasa mengamit pelancong untuk mencari kelainan dalam percutian mereka. Tahniah!! kepada Kerajaan Negeri dan penganjur kerana menganjurkan pertandingan pelita raya untuk kali ke dua.


Read more...

Cara Menenun Songket




Terengganu memang terkenal dengan hasil tenunan songket yang berkualiti tinggi. Posting aku kali ini ingin berkongsi dan mendalami proses pembuatan kain songket yang masih kekal tak lapuk ditelan zaman. Kain songket adalah hasil tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama benang emas atau benang perak. Walaupun proses tenunan songket sudah dipermodenkan dengan teknologi moden namun tradisi lama menenun songket secara tradisi masih diamalkan oleh penenun-penenun songket terutama di Terengganu. Industri songket juga semakin berkembang pesat kerana adanya promosi-promosi dari pihak kerajaan.

Kemahiran dan kreativiti yang tinggi amat diperlukan oleh penenun songket. Sehelai kain songket yang panjangnya 20meter hingga 40meter mengambil masa kira-kira enam minggu untuk disiapkan. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seorang penenun songket yang mahir adalah, dia tidak perlu melakarcorak songket di atas kertas terlebih dahulu sebelum kerja-kerja menenun dilakukkan, sebaliknya idea hasil corak yang ditenun adalah idea daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik. Hiasan kepala kain yang ditenun biasanya mengikut citrada penenun itu sendiri, corak yang biasa digunakan dikenali dengan nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya. Corak songket pula lazimnya corak susunan bunga penuh, bunga tabur dan susunan bercorak.





Jom aku ajar serba sedikit cara-cara membuat songket yang aku belajar dari Google.

Mencelup Benang - Benang putih akan dicelup dengan pewarna yang dikehendaki, setelah itu benang harus dikeringkan.

Melerai Benang - Proses di mana Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.

Menganeng Benang - Menganeng adalah proses membuat benang loseng yang direngang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang songket yg akan ditenun.

Menggulung Benang - Benang-benang yang telah direngang akan di gulung dengan sekeping papan loseng.

Menyapuk Benang - Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilalukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui celah gigi jentera.

Mengarak Benang - Karak dibuat daripada benang asing yang digelung, Benang loseng berangkap genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara selang seli sewaktu menenun.

Menyongket Benang - Proses mereka corak di aatas benang loseng dengan menggunakan alat yang dipanggil lido dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat sebagai proses ikat butang.

Menenun Benang - Proses terakhir yang mana alat torak diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kira dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang dikehendaki hinggalah menjadi sekeping kain songket. Kain yang siap ini dipotong mengikut saiz.








Aku sendiri tak pernah pun mencuba menenun songket ini sendiri, tetapi aku berharap satu hari nanti bila aku berkunjung ke Terengganu aku berpeluang untuk belajar menenun dari pakar-pakar tenun songket di sana.



Read more...

Kampung Cina



Salam Satu Malaysia Semua!!!

Semasa kunjungan aku dengan rakan-rakan ke Terengganu yang lepas, aku sempat singgah ke Kampung Cina Kuala Terengganu. Secara kebetulannya pejabar Reef Redang Resort berada di barisan kedai Kampung Cina. Seawal jam 4.00pagi kami sampai ke Stesen Bus Kuala Terengganu dan kami di bawa oleh pemandu Redang Reef Resort untuk berehat di Rest House Reef Redang Resort sementara menunggu untuk bertolak ke Jeti Merang.

Setelah melepas lelah seawal pukul 7.00pagi kami berjalan sekitar Kampung Cina untuk mencari sarapan pagi. Disini aku dapat melihat keunikkan deretan kedai di Kampung Cina yang mempunyai seni bina lama yang masih utuh lagi. Bila aku Google rerupanya Kampung Cina yang aku lihat itu sebenarnya sudah wujud sejak kurun ke-15 lagi. Ia merupakan perkampungan perdagang Cina yang berdagang antara negara China dan Semenanjung Malaysia.

Kewujudan Kampung Cina ini juga membuktikan wujudnya hubungan perdagangan yang erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu satu masa dulu. Menurut sumber, seorang pelayar terkenal bernama Abdullah Musyi yang pernah singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan bahawa kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.




Di Kampung Cina ini juga terdapat dua tokong lama iaitu Ho Ann Kiong (1801) dan Tien Hou Kong (1896). Tokong yang berusia ratusan tahun ini dibina oleh masyarakat Cina dahulu bagi menjadikan tempat komuniti antara bangsa Hokkien dan Hainan. Tokong ini juga menjadi tempat keagamaan kepada masyarakat Cina di sini. Kedua-dua tokong ini juga dikatakan menjadi tempat perlindungan sementara bagi pendatang Cina satu masa dulu di mana mereka tidak mempunyai rumah dan penempatan.



Suasana di sekitar Kampung Cina sebenarnya tak banyak beza dengan perkampungan orang Melayu, aku boleh melihat Nonya-nonya separuh umur yang berehat duduk memakai kain sarong dan baju batik sambil memerhatikan anak cucu mereka bermain. Pengaruh budaya Melayu telah sebati dengan jiwa masyarakat Cina di sini dengan melihat mereka berpakaian dan bertutur fasih bahasa Melayu Terengganu. Maka tak hairan bila melihat mereka berselera menjamu makanan Melayu seperti Nasi Dagang dan Nasi Lemak.


Bagi aku Kampung Cina sangat berpontensi menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke sini. Seni bina bangunannya mempunyai nilai sejarah memang sangat berharga dan harus dipelihara supaya tidak ditelan oleh pembangunan. Kampung Cina ini juga menjadi lambang perpaduan kaum yang dapat sama-sama hidup harmoni di Malaysia. Kepada mereka yang belum sampai ke sini. Singgah la !! Aku dah dua kali sampai ke Kampung Cina.








Read more...

Festival Gamelan Sedunia



“ Kita mahu agar suatu hari nanti, negeri Terengganu bakal menjadi negeri peneraju serta negeri yang memayungi seni gamelan di negara ini. Sebut sahaja gamelan, maka tergambarlah negeri Terengganu!...”

YAB Dato’ Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu.

Sebelum aku bercerita tentang Festival Gamelan Sedunia ini lebih baik aku memperkenalkan serba sedikit seni muzik gamelan ini terlebih dahulu. Gamelan adalah himpunan alat muzik yang dimainkan iaitu metalofon, gambang, gendang dan gong.Perkataan "Gamelan" sebenarnya berasal dari perkataan Jawa "Gamel" iaitu memukul ataupun tukul. Sebab itulah orkestra gamelan kebanyakkan yang terkenal berasal dari Pulau Jawa, Madura, Bali dan Lombok Indonesia. Walaubagaimanapun muzik gamelan menembusi nusantara sehingga ke Malaysia seterusnya ke Eropah dan benua Amerika. Menjadikan ianya muzik universal yang didengar dan dinikmati keindahan alunannya sehingga ke pelusuk dunia.

Kostum pemuzik dan penari gamelan secara tradisinya amat menarik dan unik sekali. Biasanya pakaian penari gamelan melambangkan pakaian yang di pakai di istana satu ketika dulu. Pakaian penari wanita kelihatan lebih formal jika kita bandingkan dengan pakaian pemain-pemain alat muzik. Kalau kita perhatikan pakaian penari dan pemuzik gamelan dari dulu sehingga sekarang tidak banyak berubah. Inilah namanya keaslian dan tradisi lama tetap dikekalkan walaupun pakaian sekarang sudah melalui evolusi moden.



Festival Gamelan Sedunia telah diadakan di Terengganu baru-baru ini. Festival tiga hari yang bermula 23 hingga 26 Julai berjaya dianjurkan dengan jayanya dan disertai oleh 15 pemuzik gamelan dari serata dunia. Antara kumpulan gamelan yang telah menyertai festival ini termasuk dari Bali, Kepulauan Jawa Indonesia, Jepun dan kumpulan gabuangan negara Eropah. Festival Gamelan Sedunia ini adalah kali kedua diadakan di Terengganu sejak Simposium Gamelan Pertama telah diadakan pada tahun 2008.

Malaysia telah di wakili dari Akademi Seni Negeri Terengganu (ASENI), Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Badan Budaya Unimas (BAYU), Kumpulan Warisan Terengganu, Rthytm in Bronze (RiB), Hands Percussion Team dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Dua kumpulan mewakili Indonesia iaitu Kumpulan Garasi Seni Benawa (Surakarta, Indonesia) dan Kumpulan Sanggar Singamurthi (Bali, Indonesia).

Festival ini juga dapat menjadi pemangkin dan memberikan hiburan yang bermutu tinggi kepada masyarakat tempatan khususnya pencinta seni gamelan. Muzik Gamelan ini juga dapat menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk sama-sama menghayati muzik warisan nusantara ini. Jadi usaha kerajaan negeri Terengganu untuk menganjurkan festival ini nyata tak sia-sia kerana ia sekaligus dapat memperkenalkan budaya warisan dan keindahan alunan muzik gamelan ini dipentas dunia. Di harapkan festival ini dapat di anjurkan lagi pada masa-masa akan datang. Tahniah kepada penganjur.


























Read more...
Related Posts with Thumbnails