Rumah Terbuka Hari Raya




SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Rasanya belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog aku. Hari Raya Aidilfitri sudah tentu menjadi hari di mana semua kawan-kawan dan sanak saudara berkumpul dan berkunjung-kunjungan serta bermaaf-maafkan bersama. Pada awal Syawal biasanya anak-anak akan pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ayah ibu tercinta. Kemeriah sambutan hari raya di kampung-kampung dapat dirasai terutama di Terengganu. Penduduk memasang pelita di halaman rumah menjadikan suasana hari raya di kampung lebih nostalgia dan mengambit kenangan raya semasa zaman kanak-kanak dahulu.





Sudah menjadi tradisi juga perayaan hidangan utama di Hari Raya Aidilfitri sudah tentunya ketupat dan rendang. Ketupat palas, ketupat daun kelapa, rendang ayam dan rendang daging menjadi juadah wajib di setiap rumah pada hari raya. Selain ketupat dan rendang juadah yang menjadi satu kemestian adalah tapai beras pulut. Tapai pulut berbalut daun getah popular di Terengganu sebagai juadah hari raya yang manis sebagai pencuci mulut.





Hari Raya Aidilfitri di negara kita sudah melalui perubahan di mana sepanjang bulan Syawal kita masih menyambutnya dengan mengadakan rumah-rumah terbuka di hujung minggu. Rumah terbuka biasanya di buat oleh penduduk yang tinggal di bandar-bandar baru meraihkan kenalan dan sahabat handai untuk sama-sama berhimpun dan bermaaf-maafan. Kepada adik-adik jangan lupa duit raya masih boleh dikutip sehingga 30 Syawal.

SELAMAT HARI RAYA!! MAAF ZAHIR & BATIN!!

Read more...

Peladang Setiu Agro Tourism & Resort




Peladang Setiu Agro Tourism & Resort

Peladang Setiu Agro Tourism & Resort satu-satunya tempat pelancongan yang berkonsepkan perladangan yang berjaya menarik minat ramai pelancong yang ingin mencari kelainan dalam percutian mereka. Resort ini dibina dengan kemudahan lengkap seperti kem latihan, kolam ikan air tawar, kawasan perkhemahan dan kawasan luas untuk membuat aktiviti luar. Resort ini juga sering menjadi pilihan pihak kerajaan dan sektor swasta untuk mengadakan seminar , aktiviti perkhemahan dan kem motivasi.




Terdapat 58 chalet yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan dusun buah-buahan seperti durian,rambutan, langsat, manggis dan sebagainya. Apa yang menariknya dusun buah-buahan di sini tidak menggunakan racun kimia, pengunjung boleh memetik dan merasai buah-buahan ini segar dari pokok. Pelbagai aktiviti boleh dilakukkan di resort ini seperti berkayak, mendayung sampan dan memancing ikan air tawar. Terdapat danau kolam air tawar yang disediakan pihak resort dan jika pengunjung bertuah boleh menaikkan pelbagai jenis ikan air tawar seperti talapia, keli, kaloi, patin dan sebagainya. Kepada sesiapa yang meminati sukan memanah terdapat juga kemudahan untuk aktiviti memanah disediakan pihak resort.




Setiu Agro Tourism & Resort ini mempunyai 32 bilik standard, 20 bilik special standard, 3 deluxe dan 1 deluxe family, 1 deluxe VIP dan 1 VIP suite. Harga bilik antara RM100 dan RM350 semalam. Resort ini juga menyediakan package seminar atau mesyuarat yang mampu menampung 200 peserta pada satu-satu masa. Bilik seminar ini dilengkapi dengan sistem projector, penghawa dingin, whiteboard dan pelbagai peralatan yang diperlukan bagi sesiapa yang ingin mengadakan seminar di sini.





Resort ini juga menyediakan restoran yang menyediakan makanan tempatan dan pelbagai makanan kegemaran untuk memenuhi semua citarasa pelanggan. Setelah mengisi perut membuka selera pengunjung boleh melakukan aktiviti bersiar-siar disekitar resort bagi menikmati keindahan persekitaran yang mendamaikan. Terdapat juga menara tinjau setinggi 70kaki tinggi disediakan untuk pengunjung yang ingin melihat suasana sekitar dari pandangan yang lebih tinggi. Sesiapa yang meminati aktiviti memanjang gunung dan mandi manda di terdapat juga tempat pelancongan berhampiran resort ini seperti Hutan Lipur Lata Payung dan Hutan Simpan Gunung Tebu.


Setiu Agro Resort
77A Jalan Sultan Sulaiman,
20000 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.
Phone: 09-6262020 (8 lines).
Fax: 09-6262022E-mail: patrvl@tm.net.my


Read more...

Kolam Air Panas La



Hot Springs La - Felda Tenang Besut Terengganu

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas La terletak di Hulu Besut Terengganu telah dubuka pada penghujung tahun 1992 memang terkenal dengan destinasi riadah hujung minggu kepada penduduk sekitar dan pengunjung dari luar untuk merasai kenikmatan air hangat yang dikatakan boleh mengubat penyakit kulit. Kolam air panas disediakan bagi menangkung air panas semulajadi yang keluar dari perut bumi yang kaya dengan belerang dan suhu air disitu mencecah lebih 49 darjah Celsius. Air hangat yang kaya dengan sulfur dipercayai dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh terutama kepada mereka yang menghadapi masalah kulit dan saraf.






Terdapat kolam sampingan yang dibina oleh Majlis Daerah Besut bagi mengurangkan kesesakkkan orang berkumpul di kolam utama yang hanya seluas empat meter persegi luas sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk berendam dan merasai kenikmatan kehangatan kolam air panas dengan lebih selesa dan tidak bersesak. Keindahan alam semulajadi kawasan air panas ini juga memberi kedamaian dan ketenangan kepada pengunjung. Terdapat sebatang sungai yang dinamakan Sungai Ping yang mengalir jernih dan air sejuk sungai menambah tarikan pengunjung ke tempat ini untuk mandi manda di sungai bersama keluarga.



Kolam Air Panas La ini terletak di kaki Gunung Tebu yang terkenal sebagi destinasi kembara kepada penggemar aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan meredah hutan. Pelbagai aktiviti juga boleh di lakukkan di sini seperti aktviti perkhemahan. Kemudahan awam seperti tandas, bilik persalinan dan tapak perkhemahan juga di sediakan di sini. Kolam Air Panas La terletak kira-kira 140KM utara Kuala Terengganu iaitu kira-kira 28KM dari bandar Jertih menuju ke Felda Tenang.


D’ Pinggiran Gunung Tebu Resort
ABDUL AZIZ JUSOH
Lata Belatan,Jabi,22020, Jertih,Terengganu, Malaysia
PERTANYAAN/RUNDINGAN HUBUNGI 012-9578075/09-6976110



Read more...
Category: 7 comments

Ukiran Kayu Seni Warisan Melayu




Seni Ukiran Kayu Warisan Melayu

Seni Ukiran Kayu adalah seni kraftangan warisan masyarakat Melayu yang tidak lapuk dek hujang tak lekang dek panas. Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum terutama Melayu telah mewujudkan kepelbagaian seni ukir kayu yang berbeza. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti ukiran lain cuma berbeza dari segi cara, motif dan teknik pengukirannya. Di Terengganu banyak syarikat atau orang perseorangan yang mengusahakan hasil ukiran kayu ini.



Pengusaha ukiran kayu banyak terdapat di Kampung Losong dimana ianya menjadi pusat pelancongan yang menarik di Terengganu. Hasil Seni Ukir ini terus berkembang luas kerana Terengganu merupakan negeri yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak.Selain itu kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai diukir dan dijadikan bahan yang menarik dan dijual sebagai produk pelancongan.



Terdapat pelbagai ukiran yang menggunakan teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pengukiran kayu itu sendiri. Terdapat tiga teknik utama dan gaya dalam seni ukiran Melayu iaitu tebuk separuh, tebuk timbul dan tebuk terus. Bentuk ukiran pula terdiri dari tiga jenis bentuk ukiran yang utama iaitu Bujang, Lengkap dan Pemidang.



Jenis bentuk Bujang adalah ukiran yang berbentuk bebas, tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya jenis ukiran Bujang ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntum bunga atau putik buah. Sementara jenis bentuk pemidang pula jenis ukiran yang menampilkan motif yang menggambarkan pergerakkan yang sederhana tidak rumit atau berbelit-belit. Apa yang menarik ukiran ini mempunyai namanya tersendiri seperti itik pulang petang, badak mudik, setapuk manggis dan sebagainya. Ukiran jenis ini biasanya digunakan untuk jala-jala rumah, almari dan hiasan. Jenis ukiran Bentuk Lengkap pula adalah gabungan ciri-ciri Bujang dan Pemidang iaitu jenis ukiran ini menitikberatkan unsur-unsur tumbuh-tumbuhan, akar, batang, buah, putik dan daun pokok.



Ukiran kayu memerlukan peralatan khas untuk mengukir dan memahat hasil seni ini. Alat-alat yang digunakan seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting adalah pahat. Pelbagai motif ukiran Melayu digunakan seperti motif haiwan, motif angkasa menerapkan gambaran awam larat seperti bintang matahari, bukit bukau dan bulan. Sementara motif geometri dan khaligrafi jawi juga biasanya menjadi pilihan pengukir dalam menghasilkan produk ukiran mereka. Seni Khat biasanya digunakan untuk hiasan di ambang pintu rumah, masjid atau surau ataupun pada rehal untuk Al-Quran.

Balai Seni Ukiran Besut
Jalan Balai Seni Alor Lintang, Kampung Raja,
22000 Besut, Terenggganu
Tel : 09-6953695


Read more...

Desa Ukiran Kayu - Besut




Desa Ukiran Kayu - Besut

Seni ukiran kayu adalah seni warisan turun temurun yang mempunyai nilai seni yang tak ternilai harganya. Menyedari pentingnya seni ini tidak hilang ditelan zaman, Kerajaan Negeri Terengganu telah membina sebuah institut latihan seni ukir yang di beri nama Desa Ukiran Kayu (DUK). Desa Ukiran Kayu terletak di daerah Besut yang telah di ilhamkan sebagai "Besut Daerah Ukiran Kayu" kerana lahirnya pengukir-pengukir tersohor lahir di Daerah Besut. Antara pengukir ternama yang berasal dari Besut adalah Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Haji Wan Su Bin Othman ( Tokoh Seni Negara 1997), Abd Rahman Long, Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003) dan Norhaiza Bin Nordin.




Desa Ukiran Kayu ini telah dibina di kawasan Istana Tengku Long yang terkenal dengan seni bina yang menarik dan mengagumkan. Istana Tengku Long ini telah dibina dengan Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut Ke-4 pada tahun 1875. Istana ini dihiasi dengan ukiran kayu yang halus seni ukirannya dan sangat menarik dan mengagumkan. Desa Ukiran Kayu yang dibina ini berkeluasan 3,500meter persegi dan terletak di kawasan Kg Raja Besut Terengganu , kira-kira 100Km dari Bandar Kuala Terengganu. Terdapat tiga jenis rumah tradisional yang dibina di Desa Ukiran Kayu ini ialah Rumah Potong Belanda, Rumah Limas Bungkus dan Rumah Bujang Berserambi Selasar. Ketiga-tiga rumah ini menjadi simbol dan contoh ukiran kayu yang diterapkan ciri-ciri ukiran melayu yang terkenal. Gaya ukiran pada kayu adalah dipengaruhi oleh faktor dan cara hidup masyarakat Melayu seperti adat, agama, persekitaran, iklim dan bentuk muka bumi. Biasanya ukiran ini berdasarkan keperluan individu dan tidak bercanggah dengan kepercayaan dan adat Melayu.




Desa Ukiran Kayu ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan menyediakan latihan kepada pelatih lepasan SPM yang terdiri dari anak watan Terengganu yang berminat mendalami seni ukir ini. DUK ini juga dipantau oleh seorang Profesor Madya Sulaiman Abd.Ghani sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence (TIDE) yang mempunyai pengalaman yang tinggi dan luas dalam bidang seni. Selain itu DUK juga menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk melatih pelatih di sini. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti latihan ukiran kayu atau melawat Desa Ukiran Kayu boleh lah berkunjung dan melihat sendiri Seni Warisan Melayu yang menjadi simbol dan lambang kebangaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long
PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long
Kg. Raja, 22200 Besut, Terengganu
No. Tel: 09-6954823/ 3823 No. Faks: 09-6958823
Alamat E-mail: vanyilla@yahoo.com


Read more...

Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman



Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman

Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman menjadi produk pelancongan terbaru di Negeri Terengganu. Mini Zoo Bukit Takal ini terletak di Kemanan telah di rasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said pada 11 April 2009. Mini Zoo ini adalah zoo pertama di Terengganu hasil gabungan kawasan pameran spesis haiwan, taman rekreasi air , taman tema dan kebun buah-buahan di habitat semulajadi kunang-kunang terbesar di Pantai Timur iaitu kampung Ibok. Zoo yang berkeluasan kira-kira 54hektar ini bersempadan dengan Kampung Yak Yah yang terkenal dengan kawasan habitat kunang-kunang. Mini Zoo ini mempamerkan kira-kira 100 spesis haiwan seperti harimau, gajah, buruk merak, beruang, rusa dan pelbagai haiwan lain.



Mini Zoo disini juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti wakaf, surau, trek perjalan kaki , tandas awam dan kiosk. Antara tarikkan utama Taman Rekreasi ini adalah terdapat taman tema air yang mana orang ramai boleh bermandi manda dengan sepuas-puasnya. Terdapat juga gelongsor air yang panjang yang disediakan pihak taman ini bagi menambah aktiviti permainanan air terutama kepada kanak-kanak.



Selain taman tema air terdapat juga aktiviti yang berkonsepkan rekreasi hutan, terdapat laluan kanopi sepanjang 1.2kilometer merentasi habitat rusa di dalam hutan sekunder. Terdapat juga jambatan gantung disediakan pihak taman ini. Pengunjung tidak perlu risau atau bimbang kerana jambatan gantung ini dibina dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi untuk jaminan dan keselesaan pengunjung. Melalui jambatan gantung ini pengunjung boleh melihat suasana rimba dari atas dan menuju hampir ke puncak pokok-pokok hutan. Pengunjung akan menyaksikan pelbagai pokok seperti petai, jering, dan buah-buahan hidup secara semulajadi di taman ini.




Sesuai dengan pusat rekreasi zoo ini juga menyediakan pelbagai taman tema seperti Taman Herba, Taman Pokok Hutan, Taman Tropika, Taman Buah-Buahan, Taman Orkid, Taman Bonsai dan Taman Akuatik. Pada musim buah pengunjung juga boleh menikmati pelbagai buah-buahan seperti duku, langsat, manggis, rambutan dan durian di Taman Buah-Buahanya. Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini mengenakan yuran masuk RM10.00 bagi dewasa dan RM7.00 untuk kanak-kanak. Bagi murid sekolah berpakaian seragam pula adalah RM5.00 sahaja. Untuk pelancong asing yuran masuk yang dikenakan adalah RM15.00. Untuk kemudahan pengunjung bas khas disediakan untuk ke lokasi zoo ini melalui Awana Kijal melalui Pekan Kijal, Kampung Payoh dan Ibok. Laluan ke dua bas berkenaan pula adalah dari Stesen Bas Chukai melalui Centre Point (KCP) ke Telekom terus ke Zoo. Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini dibuka setiap hari dar jam 10.00pagi hingga 5.00petang. Jemputlah datang beramai-ramai.


Read more...
Category: 7 comments
Related Posts with Thumbnails